Bekas Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Hj Ruslan Kassim berkata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini dilanda Blame Assignment Syndrome iaitu sikap yang tidak dapat menerima kekalahan dan meletakkan kesalahan kepada pihak lain di atas kekalahan Pakatan Pembangkang yang diterajuinya.
Menurut Ruslan, sikap Anwar yang secara terus-terusan cuba untuk menghasut rakyat dengan provokasi dan fitnah-fitnah yang tidak benar dengan menyalahkan Barisan Nasional (BN) dan Suruhanjaya Pilihanraya membuktikan bahawa beliau kini dijangkiti oleh sindrom tersebut.
“Hari ini kita dapat lihat dengan jelas tindak tanduk Anwar yang menghasut rakyat di seluruh negara kerana tidak dapat menerima kekalahan pembangkang setelah rakyat memutuskan untuk terus memilih BN sebagai peneraju negara.
“Sikapnya yang tidak dapat menerima kekalahan dan cuba meletakkan kesalahan di atas bahu orang lain cukup jelas bahawa beliau telah dijangkiti oleh sindrom tersebut,” ujarnya sinis kepada UMNO-Online di sini hari ini.
Tindakan Anwar yang cuba menghasut rakyat serta menganjurkan perhimpunan haram bagi membantah kemenangan BN dengan memfitnah SPR tidak telus dan sebagainya, ternyata melanggar prinsip demokrasi yang diperjuangkan Anwar selama ini.
“Beliau kata beliau seorang pejuang demokrasi, tetapi hari ini Anwar sendiri yang melanggar prinsip demokrasi dengan cuba mencetuskan gelombang bantahan rakyat secara besar-besaran untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat.
“Ini juga secara jelas memperlihatkan Anwar memperlekehkan serta menghina keputusan majoriti besar rakyat di negara ini yang membuat keputusan untuk memilih BN dan menolak politik kotor yang berasaskan fitnah dan pecah belah yang dibawa oleh pakatan pembangkang,” tegasnya.
Justeru itu, beliau meminta pihak berkuasa agar bertindak tegas terhadap Ketua Pembangkang yang kini dilihat cuba untuk mencetuskan huru hara di dalam negara dengan menabur fitnah serta provokasi kepada rakyat untuk membangkitkan sentimen kebencian terhadap BN sebagai sebuah kerajaan yang dipilih rakyat secara sah dalam PRU baru-baru ini.
“Jika pihak berkuasa membiarkan Anwar secara berterusan menghasut dan menyebarkan provokasi fitnah kepada rakyat, maka kita bimbangi ia boleh mencetuskan keadaan yang lebih serius yang boleh mengganggu gugat keamanan negara.
“Anwar kini boleh dilihat sebagai satu ancaman kepada keselamatan dan keharmonian negara dan pihak berwajib mestilah mengambil tindakan tegas bagi membendung sebarang kemungkinan berlakunya kejadian yang tidak diingini pada masa yang akan datang,” ujarnya. -MediaUMNO
Salam sejahtera.
ReplyDeleteMohon pihak tuan dapat memasukkan laman portal Berita Pahang dalam senarai blog list tuan.
Kerjasama tuan sangat - sangat kami hargai. Terima kasih.
http://bpunp.blogspot.com/