Pemuda UMNO bantu Dr Mazlan gerak gempur rampas Permatang Pauh
PERMATANG PAUH 29 April - Pemuda UMNO Bahagian Permatang Pauh akan menggerakkan 1,000 pemuda bermotosikal untuk melaksanakan gerak gempur bagi merampas kerusi Parlimen Permatang Pauh dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), 5 Mei ini.
Ketua Pemuda UMNO bahagian itu, Mohd. Zaidi Mohd. Said berkata, bagi tujuan itu seramai 300 pemuda bermotosikal akan berkonvoi setiap malam untuk membantu setiap calon BN berkempen bagi lima malam terakhir.
"Setiap seorang calon akan ditugaskan 300 konvoi bermotosikal bagi berkempen," katanya selepas melancarkan Gerak Gempur Pemuda UMNO di Dewan Giat Mara di Permatang Ara, dekat sini malam tadi.
Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid; calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Permatang Pauh, Dr. Mazlan Ismail; calon BN DUN Permatang Pasir, Anuar Faisal Yahaya; calon BN DUN Seberang Jaya Datuk Mohammad Nasir Abdullah dan calon BN DUN Penanti, Ibrahim Ahmad.
Mohd. Zaidi berkata, melalui usaha itu akan membantu jentera BN memenangi kerusi Parlimen dan tiga DUN terbabit.
Sementara itu, Dr. Mazlan berharap semua petugas bergerak untuk memastikan Permatang Pauh dapat dirampas kembali selepas tiga penggal berada di bawah 'dinasti Anwar Ibrahim'. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment