Pasukan Transformasi dikemukakan BN untuk dapat mandat besar rakyat



KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sudah selesai membuat persiapan terakhir untuk menerajui perjuangan menentang pembangkang pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13), manakala Barisan Nasional (BN) pula kini bersiap sedia untuk menurunkan mereka yang cukup berpengalaman serta muka baharu yang penuh bertenaga sebagai calonnya.
BN akan menampilkan muka baharu yang merangkumi satu pertiga daripada jumlah calonnya untuk bertanding di kerusi parlimen dan hampir separuh daripada jumlah calon untuk kerusi negeri, dengan kebanyakan mereka diletakkan di negeri dikuasai pembangkang sebelum ini.
Tidak akan berlaku pertukaran pada saat-saat akhir, kata Najib, yang pertama kali menerajui BN untuk menghadapi pilihan raya umum sebagai perdana menteri, selepas beliau menyerahkan dokumen pencalonan dan aku janji parti gabungan itu kepada para pemimpin parti komponen dan pengerusi perhubungan negeri BN di sini pada Isnin.
Ditanya tidakkah beliau bimbang untuk menghadapi kesan daripada kekecewaan yang mungkin dirasai mereka yang tidak terpilih sebagai calon, Najib berkata: "Saya lebih bimbang tentang kekecewaan rakyat."
Spekulasi tentang perang besar yang akan berlaku di Gelang Patah, Johor antara Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman dan penasihat DAP Lim Kit Siang, kini menjadi bertambah sahih apabila kawasan parlimen itu tidak terdapat dalam senarai calon yang dikeluarkan MCA pada Isnin.
Gelang Patah dimenangi MCA pada PRU 2008 dan parti itu dilaporkan merancang untuk meletakkan ketua bahagiannya Jason Teoh bertanding di kawasan berkenaan berikutan perkembangan yang berlaku selepas Lim mengumumkan keputusannya untuk bertanding bagi kerusi majoriti kaum Cina itu.
MCA dan Gerakan merupakan parti komponen BN paling awal mengumumkan senarai penuh calon masing-masing, manakala Parti Progresif Penduduk (PPP) pula menamakan empat daripada calonnya.
Pada Selasa, Umno, MIC dan parti komponen BN di Sabah dan Sarawak dijangka mengumumkan calon mereka.
Kali ini, MCA akan bertanding di 37 kerusi parlimen dan 90 kerusi negeri, berbanding 40 kerusi parlimen dan 90 kerusi negeri pada PRU lepas. Selain Gelang Patah, parti itu juga tidak meletakkan calonnya bagi kerusi parlimen Kuantan dan Wangsa Maju.
Bekas presidennya Datuk Seri Ong Tee Keat digugurkan daripada mempertahankan kerusi parlimen Pandan di sini, manakala dua naib presidennya Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, yang juga ketua Wanita MCA, dan Gan Ping Sieu, juga tidak disenaraikan sebagai calon.
Presidennya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, yang terlibat dalam pemilihan parti menentang dua presiden sebelum beliau, Ong Tee Keat dan Tan Sri Ong Ka Ting, untuk merebut jawatan presiden pada 2010, tidak akan bertanding, seperti yang beliau umumkan awal-awal lagi. Kerusi parlimen Pandan kali ini akan ditandingi penasihat undang-undang MCA bahagian itu Garry Lim.
Presiden PPP Datuk Seri M. Kayveas muncul sebagai presiden parti komponen B Nterbaru dan keempat yang tidak akan bertanding.
Kayveas, yang menang kerusi parlimen Taiping pada 2004, tetapi kalah pada 2008, tidak tersenarai sebagai calon parti itu kali ini.
Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Seri Peter Chin Fah Kui merupakan dua lagi pemimpin yang sejak awal lagi mengumumkan bahawa mereka tidak akan menjadi calon.
Gerakan diperuntukkan 11 kerusi parlimen dan 31 kerusi negeri, kurang satu kerusi parlimen berbanding pada 2008. Parti ini mengalami kecederaan teruk apabila ia hanya menang dua kerusi parlimen dan lima kerusi negeri pada PRU lepas.
Bagaimanapun, hasrat parti ini untuk kembali bertanding di Taiping, tercapai. Naib presiden dan ketua wanitanya Datuk Tan Lian Hoe, yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sebelum ini, akan bertanding di kawasan situ - kali ketiga beliau bertanding bagi kerusi parlimen selepas mencatat kemenangan di Bukit Gantang pada 2004 dan Gerik pada 2008.
PPP, yang diberi peluang bertanding di kawasan parlimen Taiping serta kerusi negeri Pasir Bedamar di Perak pada 2008, kali ini akan bertanding bagi kerusi parlimen Kepong, dengan ketua penerangannya Datuk A.
Chandrakumanan dipilih sebagai calon. Parti itu juga akan meletakkan calonnya di empat kerusi negeri - Pasir Bedamar, Guchil (Kelantan), Kota Laksamana (Melaka) dan Kota Alam Shah di Selangor.
Najib, yang juga pengerusi BN Selangor, dijadual mengumumkan calon Umno yang akan bertanding di negeri itu esok, dalam usaha BN untuk memenangi semula negeri berkenaan daripada pakatan PKR-DAP-PAS.
Calon BN bagi 222 kerusi parlimen dan 505 kerusi negeri akan menerima surat pelantikan masing-masing daripada ketua perhubungan negeri BN pada Selasa.
Najib berkata sebagai pengerusi BN, beliau mengambil kira sentimen dan harapan pemilih sebelum membuat keputusan untuk mengemukakan 33 peratus muka baharu bagi kerusi parlimen dan 49 peratus untuk kerusi negeri.
Najib berkata beliau yakin mereka yang dipilih sebagai calon mampu mengotakan aku janji BN seperti yang terkandung dalam manifestonya, yang dikeluarkan pada 6 April. Beliau menggesa mereka yang tidak terpilih sebagai calon supaya terus memberi sokongan kepada parti itu kerana ia bukan kerana mereka gagal menunaikan tanggungjawab atau bermasalah, tetapi untuk memenuhi harapan pengundi dan masyarakat untuk menikmati perubahan.
Penamaan calon akan diadakan Sabtu ini, manakala hari mengundi ialah pada 5 Mei.
Sementara itu, pembangkang terus kehilangan sokongan apabila lebih 200 anggota PKR dan DAP berketurunan India di Paya Besar, Lunas, Kedah, menyertai MIC.
Di Pasir Puteh, Kelantan, setiausaha PAS Cawangan Danan Timur Ibrahim Ismail, 63, mengumumkan akan bertanding sebagai calon Bebas bagi kerusi negeri Selising kerana membantah keputusan parti itu meletakkan Saiful Baharin Mohamad untuk mempertahan kerusi berkenaan.-BERNAMA

No comments:

Post a Comment