- Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi memberi jaminan calon-calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) di Parlimen Kepala Batas dan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawahnya akan meneruskan kesinambungan kemajuan dan pembangunan di situ.
Abdullah yang melepaskan kerusi Parlimen Kepala Batas berkata, kesemua mereka merupakan anak tempatan yang pasti mahu melihat kawasan berkenaan terus berkembang maju.
Sehubungan itu tegasnya, tiada alasan untuk pengundi menolak atau tidak menyokong calon-calon tersebut.
"Adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk mengekalkan kemajuan dan kemakmuran selama ini.
"Amat merugikan kalau kita tidak bersungguh-sungguh memberi kerjasama kepada mereka," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis memperkenalkan calon-calon baharu bagi Parlimen Kepala Batas di sini malam tadi.
Mereka ialah calon Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; calon DUN Penaga, Mohd. Zain Ahmad; calon DUN Bertam, Shariful Azhar Othman dan calon DUN Pinang Tunggal, Datuk Roslan Saidin.
Abdullah menambah, tidak seperti pembangkang, mereka membariskan calon-calon dari luar yang tidak dikenali penduduk tempatan.
"Kita sendiri pun tidak pernah nampak mereka di sini sebelum ini," ujarnya. UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment