Najib lebih layak menjadi PM berbanding Anwar & Hadi



 Menjelang PRU13 ini, sebahagian besar tumpuan umum akan terarah kepada tiga personaliti utama parti politik untuk menilai siapa di antara mereka yang akan muncul sebagai pemenang dan menjadi pilihan majoriti rakyat negara ini. Ketiga-tiga individu yang dimaksudkan itu ialah Dato' Seri Najib Tun Razak, Anwar Ibrahim dan Abdul Hadi Awang, di mana Najib adalah Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, sementara Anwar pula adalah Ketua Umum PKR dan Hadi merupakan Presiden PAS.

 Persoalannya, siapakah di antara ketiga-tiganya ini sedang berada dalam fikiran pengundi sebagai pilihan mereka bagi menerajui negara kelak? Jika ambil kira dari sudut pengalaman dan rekod kejayaan urus tadbir, Najib pastinya menjadi pilihan majoriti rakyat Malaysia untuk terus menggalas tanggungjawab sebagai Perdana Menteri, jawatan yang mula disandangnya semenjak 3 April 2009.

 Malah Najib diingati rakyat kerana jasanya berikutan kejayaan kontinjen negara menunjukkan pencapaian antara yang terbaik dan memberangsangkan dalam Sukan Sea 1989 di Kuala Lumpur semasa beliau menjadi Menteri Kebudayaan, Belia & Sukan. Selepas itu, beliau berjaya membuktikan dirinya sebagai Menteri Pertahanan terbaik Malaysia berikutan jasa bakti dan sikap caknanya dengan kebajikan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta keprihatinannya memodenkan aset ketenteraan negara.

 Semasa beliau menjadi Menteri Pendidikan, kursus persijilan pendidikan telah dinaiktarafkan ke peringkat Diploma membolehkan tangga gaji para guru mengalami peningkatan yang menggembirakan. Selain itu, sistem pendidikan negara juga melangkah setapak ke depan apabila sistem pendidikan di strukturkan semula termasuk mewujudkan kerjasama dengan Universiti luar negara.

 Manakala Anwar sewaktu menjadi Menteri Pendidikan, lebih dikenali ramai sebagai pencetus sebutan baku yang sampai sekarang gagal direalisasikan dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia termasuklah sering gagal dituturkan oleh Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat.

 Mungkin satu-satunya ingatan ramai kepada Anwar ialah ketika beliau menjadi Menteri Kewangan bermula 1991 di mana dalam tempoh itu sehingga pertengahan 1997, ekonomi negara mengalami kemakmurannya. Namun satu hakikat yang pasti, Anwar sebenarnya mengambil alih jawatan Menteri Kewangan ketika ekonomi negara dalam keadaan stabil selepas mendapat sentuhan Menteri sebelumnya iaitu Tun Daim Zainuddin yang semenjak 1984 telah bertungkus lumus membangunkan ekonomi Malaysia.

 Satu perkara yang tidak boleh dilupakan ialah sentuhan Perdana Menteri tika itu, Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad (sekarang Tun Dr Mahathir) yang terkenal dengan visi ekonomi dan kerap melakukan lawatan ke luar negara untuk menarik pelaburan asing.

 Dan bila negara diuji kegawatan ekonomi berikutan serangan mata wang oleh penyangak George Soros, Anwar terkulai layu hanya mampu mengikut sahaja nasihat dan tunjuk ajar IMF termasuklah menaikkan kaedah faedah pinjaman yang akhirnya menyebabkan ramai yang muflis dan dibebani hutang.

 Saat negara memerlukan keupayaan sebenar menangani cabaran ekonomi yang gawat, ternyata Anwar hilang arah dan hampir mengundang padah, mujurlah kebijaksanaan Tun Dr Mahathir yang tika itu bertindak segera menerajui sendiri hala tuju ekonomi negara berjaya mengekang kesan buruk selanjutnya.

 Sedangkan Najib pula menjadi Menteri Kewangan merangkap PM tatkala negara diambang kegawatan ekonomi 2009, saat pelaburan asing dan domestik agak menurun, namun disebabkan pengetahuannya yang luas, kesungguhan dan memahami asas ekonomi akhirnya kini beliau berjaya memacu semula pertumbuhan ekonomi. Bersandarkan beberapa faktor di atas jelas sekali Najib mempunyai kelayakan dan memenuhi kriteria yang diperlukan, bukan begitu?

 Tapi sekiranya kehebatan propaganda dan sikap gemar menabur janji dimungkiri serta pandai temberang dijadikan asas pilihan, suka atau tidak, kita terpaksa menerima hakikat Anwar lebih hebat dan ke depan meskipun tidak menepati kriteria untuk dilantik sebagai PM.

 Sekiranya imej keIslaman penuh hipokrasi pula mahu dijadikan sandaran utama kriteria sebagai PM, tidak syak lagi Hadi paling popular walau pun dalam pengurusan partinya sendiri haru biru dan hilang arah tuju.

Tadbir parti sendiri pun gagal, asyik dibuli oleh DAP dan PKR, macam mana nak jadi Perdana Menteri? 

Apa pun, mana satu pilihan muktamad para pengundi, yang pastinya di antara ketiga-tiga individu yang disebutkan itu, tidak syak lagi Dato' Seri Najib telah mem memenuhi kriteria untuk kekal sebagai PM dan beliau sudah membuktikan kemampuannya dan lulus ujian yang serba mencabar.

No comments:

Post a Comment