BN akan bawa perubahan besar di Permatang Pauh jika menang - Dr Mazlan




PERMATANG PAUH 30 April - Calon kerusi Parlimen Permatang Pauh, Dr. Mazlan Ismail meminta pengundi muda agar membuat pilihan yang tepat sejajar dengan slogan "Harapan Baru Permatang Pauh" pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (Ke-13) ini.

Beliau berkata, langkah itu perlu bagi menentukan Permatang Pauh membangun setelah 15 tahun tercicir daripada arus kemajuan sejak berada di bawah pakatan pembangkang.
"Orang muda hendaklah memilih calon BN jika mahu melihat perubahan di Permatang Pauh, jika tidak mereka masih ditakuk lama," katanya ketika di temui di Bilik Gerakan BN Seberang Jaya di sini hari ini.

Yang turut hadir, calon BN kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Jaya, Datuk Mohammad Nasir Abdullah.

Mazlan berkata, setiap orang muda menjadi penentu bagi memastikan Permatang Pauh berubah wajah di bawah BN.

Sementara itu, Mohammad Nasir berkata, BN akan membangunkan bandar Seberang Jaya sebagai bandar dalam taman jika dipilih sebagai wakil rakyat di sini.

Menurut beliau, antara yang akan dimajukan ialah mengindahkan bandar, kawasan industri, membina pusat belia dan sukan serta mewujudkan bit polis di beberapa kawasan strategik di bandar ini.
"Selain pemasangan lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan taman dan pasar untuk memantau kejadian jenayah," ujarnya. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment