Penang Port desak Guan Eng jelas kedalaman projek terowong DAP
Penang Port Sdn Bhd (PPSB) hari ini meminta kerajaan negeri memberi penjelasan berhubung kedalaman projek terowong dasar laut sepanjang 6.5km dari Gurney Drive ke Bagan Ajam.
Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif PPSB Datuk Ahmad Ibnihajar berkata kerajaan negeri perlu mengemukakan maklumat terperinci berhubung projek itu memandangkan lokasi pembinaannya pastinya akan menyekat laluan kapal-kapal besar di sebelah utara, sekali gus mempengaruhi operasi PPSB.
"Kita nak tahu berapa kedalaman terowong itu nanti... mereka (kerajaan negeri) kata 14 meter. Kita mahu 17 meter ke 20 meter. Apa akan berlaku sekiranya terowong itu, menyekat laluan kapal.
"Kita tak tahu apa akan berlaku pada tahun 2025, 2030.. kapal semakin besar dan laluan kapal perlu lebih dalam, baru kapal boleh masuk," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Kerja PPSB di sini.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Datuk Redza Rafiq. Ahmad berkata kerajaan negeri sepatutnya berbincang dengan PPSB terlebih dahulu sebelum membuat keputusan membina terowong dasar laut berkenaan.
"Kami dijemput selepas mereka membuat keputusan membina terowong, ini tidak adil dan ini bukan caranya," katanya.
Sementara itu, Nor Mohamed berkata tindakan kerajaan negeri menjemput orang awam berbincang selepas memutuskan untuk membina terowong itu jelas membuktikan Ketua Menteri Lim Guan Eng tidak mempunyai pengalaman mentadbir negeri. "Kepimpinan yang baik, cara dia buat kerja sebelum buat satu keputusan dia akan bincang dengan semua pihak berkepentingan yang terlibat. "... lepas tu buatlah keputusan. Itu cara seorang pemimpin sebuah kerajaan yang bijaksana, tahu mentadbir," kata Nor Mohamed yang juga anggota Parlimen Tasek Gelugor.
No comments:
Post a Comment