Nelayan bantah keras projek terowong kerajaan DAP






GEORGETOWN: Sekumpulan nelayan Tanjong Tokong mahu kerajaan negeri Pulau Pinang menimbang semula cadangan pembinaan terowong dasar laut yang akan menghubungkan Persiaran Gurney di pulau dengan Bagan Ajam di tanah besar.
    
Ketua Unit Nelayan Tanjong Tokong Amran Taib berkata projek mega kerajaan negeri itu sekiranya dilaksanakan bukan sahaja akan menyebabkan pencemaran alam sekitar malah turut menjejaskan sumber pendapatan nelayan di kawasan itu.
    
"Jika sumber pendapatan kami terjejas, bagaimana dengan nasib kami dan keluarga, kami memang bantah projek ini kerana lautlah sumber pendapatan kami, sekarang ini pun kawasan untuk kami mendapatkan ikan sudah semakin mengecil.
    
"Kami ini hanya nelayan pantai, kami tiada bot yang besar untuk pergi jauh ke tengah laut," katanya kepada pemberita selepas mengadakan demonstrasi aman di sini bagi membantah cadangan pembinaan terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion itu. Cadangan pembinaannya diumumkan Ketua Menteri Lim Guan Eng baru-baru ini.
      
Amran berkata seramai 120 orang nelayan menangkap ikan di kawasan itu sejak 30 tahun lepas dan kini terpaksa mencari kerja sambilan untuk menampung keperluan keluarga.
    
"Sekarang ini purata pendapatan sebulan hanya lebih kurang RM800, kerana pembangunan di kawasan pesisir pantai telah memusnahkan benih ikan dan sumber laut yang lain," katanya.
    
Selain itu, Amran juga mahu anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bungah Teh Yee Cheu turun padang dan meninjau serta memperjuang nasib nelayan di kawasan itu.
    
"Mana manifesto kerajaan negeri yang kata hendak membela nasib rakyat...nelayan di sini sudah banyak yang terjejas sekarang ini, kalau kerajaan negeri mahu buat juga terowong itu kami semua tak dapat ke laut dan hulur tangan sahaja minta bantuan daripada kerajaan negeri," katanya.
    
Sementara itu seorang nelayan yang ditemui Tang Heng Seng, 57, berkata keadaan sekarang semakin mencabar dan sukar, pendapatan yang diperoleh tidak cukup untuk menampung keperluan keluarga.
    
"Saya sudah tua, siapa mahu bagi kerja, saya ada tiga anak, kalau tidak pergi ke laut macam mana mahu hidup," katanya.

No comments:

Post a Comment