Peniaga bantah kerajaan DAP pindah tapak Bazar Ramadhan



GEORGE TOWN - Para peniaga bazar Ramadan Jalan Penang, di sini membantah tindakan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) memindah tapak bazar Ramadan dari Jalan Penang ke Jalan Phee Choon. Wakil peniaga, Abdul Karim Gulam Ali berkata tindakan MPPP itu akan menyebabkan lebih 20 peniaga bumiputera tidak dapat menjalankan perniagaan mereka memandangkan tempat baru yang ditawarkan itu bukan tempat tumpuan orang ramai.

 "Sejak 26 tahun lalu, tempat ini (Jalan Penang) menjadi tumpuan tapak warisan tradisional bazar Ramadan tanpa sebarang gangguan serta halangan dari mana-mana pihak. "Tetapi sejak pakatan pembangkang mengambil alih Pulau Pinang, para peniaga bumiputera ditindas dan dianaktirikan. Kami mahu mencari keadilan untuk semua peniaga.

Satu tahun sekali sahaja. Mereka boleh bagi tempat lain seperti 'Little India' kepada kaum lain, kenapa kami orang Melayu (tidak boleh berniaga di Jalan Penang)," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. Beliau berkata alasan kerajaan negeri bahawa mereka akan menyebabkan kesesakan lalu lintas jika terus berniaga di kawasan itu adalah tidak munasabah kerana masalah kesesakan lalu lintas sudah menjadi lumrah di negeri ini.

 Katanya kerajaan negeri kononnya memperuntuk RM6,000 untuk menempatkan para peniaga berkenaan dengan khemah percuma sekiranya mereka bersetuju untuk berpindah, dilihat sebagai satu usaha yang tidak berbaloi kerana kawasan yang ditawarkan itu adalah projek terbengkalai dan kurang tumpuan orang ramai. "Betapa baiknya sekiranya peruntukan RM6,000 itu disalurkan ke kawasan Jalan Penang sebagai ganti untuk memeriahkan suasana bazar Ramadan dengan hiasan lampu berwarna-warni dan lain-lain acara menarik di bulan puasa ini," katanya.

 Abdul Karim juga menyifatkan kerajaan negeri pimpinan DAP sebagai "cakap tidak serupa bikin" kerana sebelum ini Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah berjanji mahu mengekalkan tapak bazar Ramadan di Jalan Penang. Beliau berkata MPPP perlu bertindak secara realistik dan rasional sebelum mengambil sebarang tindakan.

 Justeru itu, beliau mendesak kerajaan negeri dan MPPP tampil untuk menyelesaikan kemelut yang dihadapi para peniaga bumiputera dengan kadar segera bagi membela nasib dan masa depan mereka. - Bernama

No comments:

Post a Comment