Pelabuhan bebas : Putar belit kerajaan DAP dibidas BN P.Pinang
GEORGE TOWN - Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang hari ini membidas tindakan pemimpin kerajaan negeri yang memutar belit kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai cadangan pelabuhan bebas di negeri ini.
Ketua Penerangan BN negeri, Tan Cheng Liang berkata anggota exco kerajaan negeri yang juga anggota Parlimen Tanjong Chow Kon Yeow dalam kenyataan akhbarnya semalam, mengelirukan rakyat dengan menyembunyikan fakta sebenar kenyataan perdana menteri. Chow dipetik sebagai berkata perdana menteri dalam jawapan bertulisnya di Parlimen mengatakan status Pulau Pinang sebagai pelabuhan bebas tidak lagi wujud selepas pulau itu dimasukkan ke dalam Kawasan Utama Kastam.
"Sebenarnya perdana menteri dalam kenyataan penuhnya berkata kerajaan pusat bersedia mempertimbang cadangan BN mewujudkan pelabuhan bebas bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri dengan adanya sokongan daripada rakyat Pulau Pinang," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Tan menyifatkan tindakan pemimpin kerajaan negeri yang hanya menyiarkan jawapan yang memihak kepada mereka sebagai tidak bertanggungjawab dan tidak telus.
Tindakan Chow yang memutarbelitkan kenyataan perdana menteri itu jelas menunjukkan kebimbangan negeri pimpinan pakatan pembangkang terhadap keupayaan BN dalam melaksanakan cadangannya, katanya. Khamis lepas, BN negeri melancarkan kempen mengutip tandatangan rakyat Pulau Pinang selama sebulan sebagai petisyen menyuarakan kehendak rakyat yang mahukan Pulau Pinang menjadi negeri pelabuhan bebas.
Tan berkata BN negeri yakin petisyen itu akan mendapat pertimbangan positif rakyat Pulau Pinang dan parti itu menyasar mengumpul tandatangan sebanyak 1.5 juta penduduk. - Bernama
No comments:
Post a Comment