Pemuda BN desak Guan Eng pulangkan semula tapak tanah PPRT
Ketua Menteri, Lim Guan Eng digesa menjelaskan penjualan tanah kepada pemaju swasta di Jalan Burma yang sepatutnya dibangunkan dengan Projek Perumahan Rakyat Taman Manggis Fasa II. Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) negeri, Oh Tong Keong berkata, tindakan Kerajaan Negeri menjual tanah itu untuk dibangunkan hospital swasta adalah tidak bertanggungjawab selain cuba meminggirkan golongan miskin daripada mendapat peluang mendiami rumah rakyat.
Tong Keong berkata, tindakan menjual tanah berharga itu hanya menguntungkan satu pihak dan merugikan rakyat Pulau Pinang sendiri. “Tanah rakyat sepatutnya dimanfaatkan untuk rakyat bukannya untuk pihak swasta yang mencari keuntungan.
“Pemuda BN menasihati Ketua Menteri memulangkan tanah itu dan membangunkan rumah kos rendah untuk rakyat,” katanya selepas menghantar memorandum bantahan kepada Guan Eng di Komtar di sini semalam. Memorandum itu diterima Penolong Pegawai Penerangan Pejabat Ketua Menteri, Nor Shahida Yusoff.
Tong Keong berkata, antara kandungan memorandum itu ialah menggesa Guan Eng menjelaskan kepada rakyat mengenai harga jualan tanah berkenaan, siapa pembeli dan tarikh tanah itu dijual.
Menurutnya, persoalan itu dibangkitkan apabila pihaknya mendapat tahu tanah itu dijual kepada pemaju dari Singapura.
“Saya lihat Guan Eng seolah-olah mahu menyembunyikan maklumat penjualan tanah ini daripada rakyat. Saya desak dia menjawab persoalan kami ini dalam tempoh dua hari sekiranya gagal kita akan mengambil tindakan susulan,” katanya.
Tong Keong berkata, BN sedia mengembalikan tanah itu kepada rakyat dan akan membina 272 unit rumah untuk rakyat miskin jika diberi mandat dalam pilihan raya umum akan datang.
No comments:
Post a Comment