- Sebaik sahaja memasuki taman perumahan Bukit Gedong, Bayan Baru di sini, sesiapa sahaja sudah boleh mengagak bahawa kawasan tersebut adalah kubu kuat Barisan Nasional (BN).
Bendera BN dan UMNO dilihat berkibaran di kiri dan kanan jalan seolah-olah penduduknya sudah tidak sabar-sabar untuk menanti Pilihan Raya Umum Ke-13.
Yang Dipertua Persatuan Penduduk Bukit Gedong, Mohd. Farook Hassan Ali, 43, berkata, keadaan sedemikian sebenarnya mencerminkan isi hati penduduk.
Pada pilihan raya nanti, mereka mahu memastikan BN merampas semula Parlimen Bayan Baru dan ketiga-tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawahnya daripada pembangkang.
Baginya, tempoh empat tahun di bawah pentadbiran Kerajaan DAP Pulau Pinang sudah memadai untuk rakyat merasai 'perit'.
Pandangan Mohd. Farook turut disokong Abu Bakar Wanchee, 65.
Sebagai 'orang lama' di kawasan itu, dia melihat sendiri nasib orang Melayu yang semakin tertindas di bawah pentadbiran Kerajaan DAP Pulau Pinang.
Penduduk kampung tradisional dihalau demi pembangunan kediaman mewah, gerai penjaja diroboh dan rakyat berhijrah ke negeri lain kerana tidak mampu memiliki rumah sendiri merupakan antara isu-isu yang melanda orang Melayu di Pulau Pinang.
Justeru, dia tidak hairan jika perkara sama boleh terjadi ke atas taman perumahan yang didiaminya itu sejak 1984.
Malah, dia rasa tidak sedap hati sejak kebelakangan ini kerana khuatir suatu hari nanti perkara tidak elok boleh berlaku ke atas penduduk Bukit Gedong yang majoritinya orang Melayu.
Kebimbangan Abu Bakar ada logiknya kerana rumah-rumah di situ dibina di atas tanah milik Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) iaitu anak syarikat kerajaan negeri dengan status pegangan pajakan 99 tahun.
"Kami takut perkara sebegini terjadi. Hak orang nak buat macam mana. Kami berwaspada saja sebab saya boleh rasakan ada 'sesuatu' akan berlaku.
"Ini bukan perkara main-main, ini dia (kerajaan negeri) punya tanah," katanya kepadaUtusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Jika ada sekalipun pampasan iaitu rumah yang akan ditawarkan oleh kerajaan negeri, tiada jaminan ia akan dibina di tempat sama.
Sehubungan itu, tambah Abu Bakar, dia merasakan adalah lebih selamat sekiranya BN kembali berkuasa di negeri ini kerana nasib mereka dan generasi akan datang terjamin.
Demikian secebis keluh-kesah penduduk Bayan Baru yang bimbang akan nasib mereka di bawah pentadbiran pakatan pembangkang.
Mereka sendiri tidak pasti sama ada akan terus selamat tinggal di situ atau terpaksa menjadi mangsa kerakusan pihak-pihak tertentu termasuk kerajaan negeri dan pemaju atas nama pembangunan.
Sementara itu, Pegawai Penyelaras Parlimen Bayan Baru, Por Joo Tee berkata, kedudukan kawasan berkenaan dianggap cukup unik.
Menurutnya, pelbagai kemudahan sudah tersedia khususnya dari aspek logistik.
Terdapat susur keluar dari Jambatan Pulau Pinang menuju Bayan Baru manakala Jambatan Kedua yang bakal siap tahun depan pula menghubungkan Batu Kawan di Seberang Perai dengan Batu Maung.
Selain itu, ada kompleks kargo udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Bayan Lepas.
"Biasanya kawasan berdekatan dengan kemudahan logistik akan berkembang pesat," ujarnya.
Beliau menambah, peluang pekerjaan terutama di Zon Perdagangan Bebas Bayan Lepas yang mempunyai banyak kilang milik syarikat antarabangsa turut menyebabkan ramai orang berhijrah ke situ.
Justeru, jelasnya, Bayan Baru cukup berpotensi untuk menjadi sebuah bandar metropolitan.
Bagaimanapun, tegasnya, jika Bayan Baru mahu dibangunkan sebagai sebuah metropolis, tidak bermakna penduduk asalnya boleh dipinggirkan begitu sahaja atau lebih teruk lagi 'dihalau' bagi membolehkan pembangunan dijalankan.
Menurut beliau, perlu ada pembangunan seimbang dan sistematik supaya semua pihak boleh mendapat manfaat, namun beliau khuatir semua itu tidak diambil kira di bawah pentadbiran pembangkang.
Kata Joo Tee, antara perkara yang perlu diberi keutamaan adalah pembinaan rumah mampu milik untuk rakyat.
"Bagaimana masyarakat di Bayan Baru hendak tinggal jika tiada rumah mampu milik untuk mereka disediakan oleh kerajaan negeri?
"Projek perumahan yang sedia dan bakal dibina semuanya mahal-mahal belaka. Tidak ramai penduduk Bayan Baru sendiri yang mampu beli menyebabkan mereka terpaksa berhijrah ke kawasan lain yang lebih jauh.
"Ini isu nasional. Tanah milik kerajaan negeri memang tidak banyak tetapi jika mandat diberikan kepada BN untuk mentadbir Pulau Pinang, Kerajaan Persekutuan boleh merancang sesuatu sebab ia hasrat rakyat," ujarnya.
Menurut Joo Tee, pengalaman mentadbir negara dengan jayanya hampir 55 tahun sudah cukup untuk membuktikan bahawa BN mampu memberi kesejahteraan, keamanan dan keharmonian kepada rakyat.
Sehubungan itu, beliau berharap pengundi di Bayan Baru dapat berfikir secara rasional dalam membuat keputusan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.
No comments:
Post a Comment