Razali nasihat orang Melayu perlu sedar tentang DAP




Orang Melayu yang masih menyokong pembangkang khususnya DAP perlu membuka mata tentang nasib dan masa depan mereka jika terus bersama parti itu.

Bekas Setiausaha Organisasi DAP Jelutong, Mohamed Razali berkata, perjuangan parti itu jelas bersifat perkauman dan janji untuk menjaga kepentingan orang Melayu hanya bersifat politik semata-mata.

"Sebab itulah saya tersedar dan pada masa sama merayu rakan-rakan dan orang Melayu di seluruh negara yang masih bersama DAP supaya tinggalkan parti itu.

"Kenyataan terbaru Pengerusi DAP, Karpal Singh telah menunjukkan belang sebenar mereka. Jadi adakah orang Melayu masih mahu bergantung harap kepada parti yang hanya memberi mereka harapan palsu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Karpal bahawa selagi hidup, beliau akan terus berjuang untuk memastikan seorang bukan Melayu menyandang jawatan Perdana Menteri. Secara peribadinya beliau menganggap tiada undang-undang yang boleh menghalang jawatan itu disandang oleh bukan Melayu.

Mengulas lanjut, Razali berkata, apa yang diucapkan Karpal itu tidak harus dipandang sepi oleh orang Melayu dan golongan itu mempunyai tanggungjawab untuk memastikan cita-cita Karpal tidak menjadi kenyataan.

"Kita kena pastikan Karpal tidak akan berjaya. Orang Melayu di negara ini kena ingat, jika mereka bersatupadu, agama Islam akan menjadi kukuh dan tidak ada pihak yang mampu menggugat.

"Kata-kata Karpal bahawa dia tersasul menyebut nama Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebagai Perdana Menteri juga boleh dipertikai. Bukan silap, tetapi niat itu memang ada di dalam hatinya," katanya.
Razali berkata, tidak hairanlah jika Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah berkata bahawa beliau sanggup diperkudakan DAP.

"Jadi inilah puncanya, Anwar dijanjikan jawatan Perdana Menteri mungkin sekejap sahaja, lepas itu DAP akan teruskan agenda mereka.

"Pengunduran Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim daripada parti itu baru-baru ini juga harus menjadi isyarat jelas kepada orang Melayu yang masih bersama mereka," katanya.

2 comments:

  1. Sudah sampai masanya "BERSATU' lupakan tentang perbalahan. Fokus kepada penyatuan Ummah.

    ReplyDelete
  2. Setuju... Saya sayangkan bangsa Melayu... Bila baca kisah sejarah kita, baru tersedar! Orang Melayu memang senang lupa dan bertoleransi...Itulah kelemahan kita... selalu bertoleransi sedangkan orang lain tunggu peluang..Akhirnya orang yang diberi toleransi itu semakin kuat dan "ngap" bangsa kita sendiri... Waktu itu menyesal pun tak guna!!!

    ReplyDelete