Adun BN buat laporan polis terhadap kenyataan perkauman Guan Eng




GEORGETOWN- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Datuk Azhar Ibrahim hari ini membuat laporan polis terhadap Ketua Menteri, Lim Guan Eng berhubung kenyataan yang didakwa berbaur perkauman dan hasutan semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri Isnin lepas. Azhar berkata, kenyataan Lim menimbulkan kegelisahan di kalangan rakyat dan boleh berlaku perbalahan kaum serta mengancam keharmonian negara. 

 "Saya buat laporan polis hari ini atas nama ADUN Penaga dan saya mahu polis menyiasat kenyataan yang telah dibuat Ketua Menteri Pulau Pinang kerana ia merupakan satu hasutan," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Lebuh Pantai di sini, hari ini. 

 Yang turut hadir peguam Azhar, Abu Bakar Sidek dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir dan ADUN-ADUN UMNO. Guan Eng sebelum ini dipetik sebagai berkata: 

“Sekiranya UMNO kembali berkuasa, saya rasa semua kuil Hindu terancam". 

 Ketua Menteri itu bagaimanapun berkata, beliau membuat kenyataan itu bagi merujuk kepada insiden perobohan rumah berhala yang terletak dalam kawasan Pelabuhan Pulau Pinang oleh Penang Port Sdn Bhd (PPSB) baru-baru ini. 

 Azhar berkata ayat “terancam" yang digunakan oleh Guan Eng adalah sesuatu yang sangat berbahaya dan berunsur hasutan kepada kaum India agar membenci orang UMNO iaitu orang Melayu. 

 "Walaupun kenyataan itu dibuat semasa Persidangan DUN dan Guan Eng mempunyai imuniti, tetapi ia telah didengar secara langsung oleh orang ramai dan kenyataan berkenaan berbaur hasutan.

 "Perkara ini bukan boleh dimain-main kerana ia melibatkan hasutan dan kita serahkan kepada polis untuk menyiasat berhubung kenyataan Guan Eng," katanya. - BERNAMA

1 comment:

  1. Do you think he cares or even bothers by it? I DON"t THINK SO. TIME ANd AGAIN THe DAP PEOPLE have come up with so many such remarks and nobody dares to do anything about it even the current government. But let's reverse the situation where the Malay says something to the same effect, immediate action and public Bru Ha will ensue... as they say "ADA AKU KESAH"..

    ReplyDelete