Pemuda UMNO pertikai mengapa Uda mahu jual tanah 1.4 hektar
PETALING JAYA 31 Mei - Tindakan Uda Holdings Bhd., (UDA) yang kebelakangan ini menimbulkan tanda tanya di kalangan kontraktor bumiputera terus dipersoalkan apabila ia didapati dalam proses menjual sebidang hartanah miliknya yang terletak di kawasan utama iaitu di Jalan Sultan Ismail di ibu kota.
Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, beliau mendapat tahu UDA kini bercadang menjual tanah miliknya yang berukuran 1.4 hektar bersebelahan Hotel Sheraton itu kepada Mutiara Goodyear Development Bhd., (Mutiara) pada harga RM215.5 juta.
Menurutnya, tindakan itu tidak sepatutnya dilakukan UDA kerana ia pasti merugikan pemilikan tanah bumiputera di kawasan bandar dan bercanggah dengan falsafah penubuhan UDA yang bertujuan menjaga kepentingan pemilikan hartanah golongan tersebut.
"Jika benar perkara ini sedang berlaku, Pergerakan Pemuda UMNO menggesa UDA supaya mengkaji cadangan itu kerana ia akan merugikan golongan Melayu dan bumiputera di bandar.
"Pihak pengurusan UDA perlu mengingati bahawa syarikat itu ditubuhkan untuk menjaga kepentingan pemilikan hartanah bumiputera di kawasan bandar dan ia (UDA) bukanlah agen hartanah," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Sekretariat Hal Ehwal Bandar Pemuda UMNO, Tengku Azman Tengku Zainol Abidin.
Sementara itu Tengku Azman berkata, sekiranya proses penjualan tanah berkenaan sedang dilaksanakan UDA kepada Mutiara, ia perlu dihentikan serta-merta demi kepentingan golongan bumiputera.
Jelasnya, penjualan itu adalah sesuatu yang amat malang dan merugikan terutama ketika golongan bumiputera masih 'terkapai-kapai' untuk memiliki hartanah di kawasan bandar.
"Ia adalah sia-sia, memalukan serta perlu dihentikan segera kerana kawasan tanah di Kuala Lumpur bukannya murah, apatah lagi di kawasan utama seperti di Jalan Sultan Ismail berkenaan," tegasnya.
CAMNILAH
ReplyDeleteNOR JAZLAN ! GET LOST FROM UDA