Papan Iklan politik Adun Bukit Tengah tiada permit
BUKIT TENGAH – Papan iklan memaparkan gambar berkaitan kejayaan yang dilakukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bukit Tengah yang dinaikkan di beberapa kawasan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tengah menjadi isu apabila ia didakwa bermotifkan politik, selain tidak mempunyai permit.
Perkara itu dibangkitkan parti Gerakan yang diwakili Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tengah, Dr Lim Boon Han bersama Penyelaras Parlimen Batu Kawan, A Mohan sejak Khamis lalu melalui siaran di beberapa akhbar berbahasa Cina.
Bagi mengelakkan isu itu terus dimainkan, ADUN, Ong Chin Wen, semalam, tampil memberi penjelasan dan mahu Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) bertindak adil dengan menjelaskan garis panduan secara terperinci bagi mengelakkan berlaku kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Beliau berkata, papan tanda yang dinaikkan itu tiada kena mengena dengan parti politik, sebaliknya ia adalah inisiatif bersama JKKK bagi memberitahu masyarakat mengenai usaha yang sudah dilakukan.
Menurutnya, isu itu didakwa sengaja dibangkitkan Gerakan untuk mengkritik beliau.
“Saya dihubungi pegawai dari Jabatan Kejuruteraan MPSP lewat petang 30 Mei lalu mengatakan permohonan saya untuk mendapatkan permit bagi menaikkan papan iklan berkenaan ditolak, namun tidak memberikan sebarang alasan.
“Namun, pada Jumaat lalu Yang Dipertua MPSP ada menghubungi saya dan ahli majlis dalam kenyataannya pada hari sama memberitahu permohonan saya berkemungkinan tidak dapat diluluskan kerana mempunyai publisiti politik sepertimana yang dinyatakan dalam garis panduan undang-undang kecil MPSP,” katanya.
“Saya akui membuat permohonan lewat, pada Khamis lalu, iaitu selepas 18 daripada 21 papan iklan dinaikkan. Tetapi, sekurang-kurangnya saya ada memohon,” katanya.
Chin Wen berkata, dalam hal itu MPSP perlu memperjelaskan garis panduan dengan lebih terperinci.
Jelasnya, MPSP perlu adil kepada semua pihak bagi mengelakkan rakyat membuat tanggapan buruk terhadap mereka.
Beliau berkata, pihaknya tidak akan menurunkan papan iklan yang dipasang sejak 18 Mei lalu itu, sebaliknya akan terus menaikkan tiga lagi papan tanda.
Ia akan mula dipasang dalam tempoh dua minggu lagi di kawasan Bukit Minyak.
“Saya tidak berniat untuk memperkecilkan mana-mana pihak, terutama MPSP, tetapi mahukan penjelasan serta tindakan yang adil,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, Pengerusi JKKK Jalan Pengkalan, Ahmad Hussin berkata, jika diteliti papan iklan berkenaan, ia tidak langsung melibatkan agenda politik.
No comments:
Post a Comment