UMNO tiada kaitan dengan idea 1 Melayu 1 Bumiputra



GEORGETOWN - “ Tiada kaitan dengan UMNO,” demikian kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Syed Amerruddin Syed Ahmad menyangkal dakwaan mengatakan idea 1Melayu, 1Bumi mempunyai kaitan dengan UMNO.

Syed Amerruddin berkata, idea itu adalah satu pandangan sebuah akhbar perdana berbahasa Melayu dan tidak ada kena mengena dan didalangi oleh parti politik.

“Jangan kaitkan akhbar itu dengan UMNO, akhbar itu tidak langsung ada kena mengena dengan UMNO,” katanya ketika mencelah perbahasan usul terima kasih kepada ucapan Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.

Sementara itu, ADUN Datuk Keramat, Jagdeep Deo Singh ketika perbahasan berkata, dalam mempromosikan kebebasan media, akhbar yang mempunyai hubungan dengan UMNO itu mempromosikan idea perkauman.

“ Idea itu telah ditolak oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan beliau menggesa supaya tindakan diambil terhadap akhbar perdana itu berikutan ia didapati menyiarkan fahaman dan idea yang berbau perkauman,” katanya.

ADUN Seri Delima, R S N Rayer pula bangun dan mencelah dan berkata bahawa akhbar itu tidak diambil tindakan adalah kerana ia dijadikan lidah kepada UMNO.

“Akhbar itu tidak diambil tindakan adalah kerana ia adalah lidah kepada UMNO,” katanya.

Dalam pada itu, ADUN Sungai Dua, Datuk Jasmin Mohamed mencelah dengan berkata bahawa UMNO tidak pernah terlibat dengan mana-mana isu perkauman yang dimainkan.

Dewan menjadi tegang apabila Jagdeep berterusan meminta jawapan daripada Jasmin dan Syed Amerruddin sama ada mereka bersetuju atau tidak dengan idea berkenaan.

Syed Amerruddin kemudiannya bangun dan meminta supaya Jagdeep membuat aduan rasmi terhadap ketidakpuasan hatinya itu dan bukannya menuduh tanpa bukti.

Perdebatan itu bagaimanapun dihentikan oleh Speaker Datuk Abdul Halim Hussain dengan meminta isu itu dihentikan berikutan tidak mempunyai cukup masa.

No comments:

Post a Comment