Penduduk Bagan Ajam bantah kerajaan DAP P.Pinang pertikai Klinik 1Malaysia
BUTTERWORTH - Lebih 200 penduduk sekitar daerah ini termasuk anggota pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan demonstrasi secara aman membantah kenyataan Exco Kebajikan, Kesihatan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh yang mempertikaikan kewujudan Klinik 1Malaysia.
Bantahan diadakan di hadapan Klinik 1Malaysia Bagan Ajam selama 30 minit selepas solat Asar, kelmarin dan dijalankan secara aman tanpa melibatkan apa-apa kejadian yang tidak diingini.
Antara NGO terlibat adalah Penawar, Gerakan Belia 4B cawangan Bagan Ajam, Persatuan Penduduk Taman Tun Dr Awang dan Persatuan Pemuda Pencinta Damai Butterworth.
Mereka bersama penduduk yang turut disertai kanak-kanak bukan sahaja mempamerkan berbagai sepanduk meminta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu itu menarik balik kenyataannya malah menuduhnya tidak faham dengan kewujudan sebenar klinik berkenaan.
Penganjur demonstrasi yang juga Penyelaras Parlimen Bagan, David Chua Teik Siang berkata, mereka berkumpul untuk menyuarakan bantahan terhadap kenyataan Boon Poh mempersoalkan ketiadaan doktor bertugas di klinik itu selama ini.
“Klinik 1Malaysia diwujudkan sebagai alternatif kepada pesakit untuk menerima rawatan awal sebelum mereka dirujuk ke hospital jika penyakit mereka melarat.
“Sebagainya wakil rakyat, beliau sepatutnya lebih memahami klinik berkenaan dan tidak mempertikaikannya,” katanya.
Seorang pesakit, M Parowady, 56, penduduk flat Taman Tun Dr Awang berkata, dia rasa bertuah dengan kewujudan klinik itu di kawasan perumahan selama ini kerana memudahkannya mendapatkan rawatan.
“Kami yang terdiri dari penduduk miskin sudah semestinya memilih klinik ini daripada klinik swasta untuk mengelak bayaran tinggi.
“Tambahan lagi ubat yang dibekalkan sama mutu dengan klinik lain membuatkan kami berasa selamat menggunakannya,” katanya.
Pesakit kencing manis, Emilia Saidin, 30, yang menjadikan Klinik 1Malaysia di situ sebagai tempat tetap mencuci kakinya berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Exco berkenaan seperti merendahkan taraf klinik berkenaan.
“Rawatan yang diberikan di klinik ini sama dengan rawatan di tempat lain dan kedudukannya di lokasi berdekatan perumahan memudahkan kami mendapat perkhidmatan kesihatan.
“Jika nak ke klinik swasta di pekan, kami terpaksa mengeluarkan wang lebih dan merugikan masa serta mengalami masalah pengangkutan terutamanya bagi penduduk miskin seperti saya,” katanya.
Menurut Ahli Jawatankuasa Penawar, Hamid Dalilah, 50, tindakan Boon Poh mempertikaikan ketiadaan doktor di klinik itu menunjukkan beliau tidak memahami konsep perkhidmatan kesihatan yang menjadi amalan dalam dunia perubatan selama ini.
Demonstrasi aman itu bagaimanapun berakhir sejurus selepas mereka diarah bersurai oleh anggota polis yang bertugas kerana tidak mempunyai permit.
No comments:
Post a Comment