Nelayan Pulau Pinang diabaikan kerajaan DAP
KEPALA BATAS 19 Mei - Pemuda UMNO membidas Kerajaan DAP Pulau Pinang kerana mengabaikan nasib lebih 4,500 nelayan di negeri ini yang tidak diberi sebarang peruntukan khusus dalam Bajet 2011 Pulau Pinang seperti yang diumumkan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), baru-baru ini.
Ketua Penerangannya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (gambar) berkata, bajet itu sekadar menggariskan pengecualian 50 peratus bayaran pembaharuan lesen yang hanya menyebabkan kerajaan negeri kehilangan pendapatan RM65,000 setahun.
Ini bermakna, katanya, tanpa sebarang dana dari poket kerajaan negeri, setiap daripada 4,500 nelayan di negeri ini hanya memperoleh RM1.20 sebulan dalam bentuk manfaat hasil daripada pengecualian tersebut.
"Inikah nilai nelayan di mata kerajaan negeri yang kononnya pejuang kebajikan rakyat? Tiada guna mendabik dada mahu menjadi jaguh pelaburan asing, tetapi meminggirkan kelompok kecil masyarakat yang amat dahagakan pembelaan.
"Adakah kerana nelayan menjadi golongan terpencil dan tidak mampu memberi keuntungan politik kepada kerajaan negeri, maka mereka tidak diberi pembelaan? Janganlah bersikap memilih dalam membantu rakyat," katanya.
Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kepala Batas berkata demikian selepas menyampaikan bantuan sara hidup RM200 kepada lebih 4,500 nelayan dari seluruh Pulau Pinang, di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Pulau Pinang, Raja Khalid Raja Ariffin dan Pengerusi Persatuan Nelayan Seberang Perai, Mahathir Md. Rozi.
Reezal Merican berkata, Kerajaan Pusat membuktikan komitmen dengan menyediakan lebih RM90,000 sebulan dalam bentuk wang saraan hidup kepada nelayan berdaftar di Pulau Pinang dan jumlah itu tidak termasuk subsidi petrol bulanan bernilai antara RM700 hingga RM1,000 setiap seorang.
Menurut beliau, dengan bajet mencecah RM900 juta yang diumumkan oleh kerajaan negeri bagi tahun ini, adalah wajar jika sedikit daripadanya disalurkan untuk membantu golongan nelayan.
"Sebab itu, kita menyokong hasrat persatuan nelayan untuk menghantar memorandum kepada kerajaan negeri supaya mereka diberi peruntukan sekurang-kurangnya RM100 sebulan dalam bentuk wang sara hidup.
"Kita percaya dengan kemampuan kewangan yang dimiliki oleh kerajaan negeri, jumlah itu tidak akan mendatangkan implikasi besar dalam perbelanjaan, kerana keutamaan sepatutnya diberi untuk membantu golongan yang memerlukannya," ujar beliau
No comments:
Post a Comment