Jalan berlubang : NGO desak kerajaan negeri baiki semula Jalan Datuk Ismail Hashim
GEORGETOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) mengambil tindakan segera membaiki Jalan Datuk Ismail Hashim, di sini yang berlubang.
Presiden, S M Mohamed Idris, berkata, jalan itu dari arah Sungai Ara ke Bayan Lepas mengalami masalah kerosakan sejak kian lama.
Menurutnya, hasil tinjauan CAP mendapati jalan sepanjang empat kilometer itu bukan sahaja tidak rata malah berlubang dan di bahagian tebing jalan pecah.
“Ia boleh menjejaskan keselamatan pengguna utama khususnya kepada penunggang motosikal,” katanya dalam satu kenyataan media.
SM Mohamed berkata, berdekatan jalan itu juga terdapat kawasan projek perumahan menyebabkan sisa pasir dan tanah tumpah dari lori yang melalui laluan di situ tetapi tidak dibersihkan dengan sempurna.
“Keadaan itu menyebabkan jalan terbabit menjadi becak ketika hujan dan berdebu ketika panas.
“Ramai pengguna mengadu kepada CAP mereka bimbang ketika melalui jalan ini kerana keadaannya yang tidak sempurna dan bahaya terutama sekali pada waktu puncak kerana pelajar sekolah dengan kakitangan awam yang berulang alik menggunakan jalan itu,” katanya.
Pengguna, Azhar Sharif, 45, berkata, dia beberapa kali hampir terjatuh kerana tayar motosikal yang ditunggangnya masuk ke dalam lubang jalan.
“Keadaan ini berbahaya terutama pada waktu hujan kerana lubang-lubang yang terdapat di sini dipenuhi takungan air dan sukar untuk dikesan,” katanya.
Dia mencadangkan pihak berkaitan mengambil langkah segera menurap jalan atau menimbus lubang di laluan berkenaan.
“Walaupun, perkara ini menjadi rungutan pengguna terutama penduduk tempatan, namun tiada respons dan tindakan yang diambil pihak berkenaan,” katanya.
SM Mohamed berkata, demi keselamatan, pengguna meminta JKR dan MPPP memberi perhatian dalam melakukan pemantauan secara berterusan kerana jalan itu lebih terdedah kepada kerosakan akibat aktiviti pembangunan pesat di kawasan berkenaan.
No comments:
Post a Comment