BN tidak akan terpengaruh DAP mahu adakan pilihanraya negeri berasingan
KUALA LUMPUR 27 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Barisan Nasional (BN) tidak akan sesekali terpengaruh dengan hasrat DAP yang mahu negeri-negeri yang ditadbir pembangkang mengadakan pilihan raya negeri berasingan.
Menurut Perdana Menteri, sebaliknya BN hanya menumpukan kepada apa yang perlu dilakukan oleh parti itu sebagai persediaan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
''Kita tidak boleh menentukan dan kawal apa yang mereka mahu lakukan tetapi kita boleh tentukan apa yang akan kita buat,'' katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Majlis Tertinggi UMNO di sini hari ini.
Najib menambah, hasrat DAP itu juga tidak salah dari sudut undang-undang dan Perlembagaan.
Dalam perkembangan lain, Najib berkata, simulasi pilihan raya atau pilihan raya olok-olok yang dirancang BN akan dilaksanakan Julai ini seperti yang dirancang.
Dalam masa sama, Perdana Menteri turut menasihati para pemimpin UMNO di semua peringkat bermula daripada bahagian ke Majlis Tertinggi supaya terus mendekati rakyat secara turun padang bagi menghadapi pilihan raya umum nanti.
''Kumpulan sasarnya adalah rakyat sebab ukuran mutlak dalam sistem demokrasi berparlimen adalah memenangi pilihan raya umum dan membentuk kerajaan.
''Bilangan ahli cawangan dan bahagian tidak membawa erti melainkan jika kita berjaya mewujudkan kerajaan dengan memenangi pilihan raya umum,'' katanya.
Kepada cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melarang penggunaan telefon bimbit di pusat pengiraan undi bagi mengelak maklumat tidak rasmi disebarkan, Najib berkata, ia adalah langkah yang baik.
No comments:
Post a Comment