807 ahli DAP Pulau Pinang keluar parti sertai MIC
BUKIT MERTAJAM 29 Mei - Merasakan diri mereka tidak dihargai, seramai 807 ahli DAP di negeri ini bertindak keluar parti dan menyertai MIC malam ini.
Mereka yang terdiri daripada ahli DAP di Parlimen Bagan, Batu Kawan dan Tasek Gelugor menyerahkan borang permohonan menyertai MIC kepada Presidennya, Datuk G. Palanivel pada Majlis Sepetang Bersama Presiden di Padang Kilat dekat sini.
Menurut bekas Pengerusi DAP Cawangan Teluk Indah, Perai, D. Sampunathan, dia adalah ahli DAP sejak 20 tahun lalu namun kini hilang kepercayaan kepada parti itu yang didakwa gagal membantu golongan bawahan.
"Saya sudah tak gembira bersama DAP kerana mereka gagal membantu golongan yang memerlukan kerana memilih orang untuk diberi bantuan.
"Sebagai orang yang paling dekat dengan rakyat, kita cuba bantu semua orang tanpa mengira parti dan kaum namun ia tidak disenangi sebahagian pemimpin DAP setempat," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Taman Indah.
Sementara itu, bagi Lily Vasan, dia menyertai DAP sebelum pilihan raya umum lalu dan turut membantu kempen pembangkang di sekitar Bagan Dalam.
"Tapi saya nampak perbezaan mereka selepas menang apabila gagal membantu orang susah malah sukar didekati.
"Saya lihat MIC pula yang banyak bantu bila diperlukan malah sentiasa bersedia membantu saya tidak kira masa," ujarnya yang merupakan bekas Pembantu Khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, A. Tanasekharan.
No comments:
Post a Comment