UMNO P.Pinang Tolak Tindakan Hantar Keranda Kepada Ketua Menteri



 

PULAU PINANG, 15 Mac – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, UMNO negeri itu sama sekali tidak menyokong tindakan beberapa NGO mahu menghantar keranda kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kerana itu bukanlah budaya dan cara masyarakat di negara ini.

Walaupun tindakan tersebut dianggap satu simbolik bagi rakyat di negeri ini memberi mesej kepada kerajaan negeri DAP agar tidak terus melakukan penindasan namun katanya semua pihak perlu menjaga sensetiviti masyarakat berbilang kaum.

“Kita berharap tindakan menghantar keranda ini tidak diteruskan kerana kita hidup berbilang bangsa dan harus menghormati agama lain. Banyak cara lain yang boleh dilakukan untuk meluahkan rasa tidak puas hati rakyat.

“Inilah akibatnya jika rakyat bangkit dan tidak mahu terus ditindas,” katanya kepada UMNO-Online.

Beliau seterusnya berkata pihaknya tidak menghalang sekiranya rakyat di negeri ini mahu mengadakan demonstrasi tetapi ia mestilah diadakan secara aman agar tidak menganggu ketenteraman awam.

“Dahulu, DAP yang mengajar rakyat untuk mengadakan demonstrasi melawan kerajaan. Kini, apabila DAP  menjadi kerajaan negeri, dia harus terima jika rakyat membuat demonstrasi apatah lagi ia berkaitan rasa tidak puas hati mereka berhubung cara layanan dan pentadbiran kerajaan negeri yang tidak adil,” katanya.

Zainal yang juga merupakan Ketua UMNO Nibong Tebal menjelaskan pihaknya juga tidak akan teragak-agak untuk mengetuai demonstrasi rakyat sekiranya kerajaan negeri DAP terus memekakkan telinga.

“Kita akan ke depan sekiranya kerajaan Negeri masih tidak berubah dan keadaan semakin parah.  UMNO Pulau Pinang tidak akan membenarkan rakyat terus ditindas dengan teruk.

“Dari kes Kampung Buah Pala, membawa kepada  kes meroboh gerai-gerai rakyat bawahan yang menyebabkan mereka hilang punca rezeki, semuanya satu penindasan.

“Kerajaan DAP harus pandang ke belakang dan lihat semasa BN memerintah Pulau Pinang. Tidak ada timbul masalah sebegini. Kini, rakyat telah bersuara dan DAP  harus sedar,” ujarnya. -MediaUMNO

No comments:

Post a Comment