Dap Umpan Wang Sogokan Ugut Guru Kafa Hadir Majlis Ketua Menteri



Ketua UMNO Bahagian Tasek Gelugor, Shabudin Yahaya membuat pendedahan taktik politik sogokan yang kini menjadi amalan Kerajaan Dap Pulau Pinang dalam usaha mereka untuk memancing undi terutama di kalangan orang Melayu.

Malah lebih lebih mengecewakan lagi tegasnya politik sogokan ini dilakukan dengan berselindung atas nama sumbangan sempena sambutan Maulidul Rasul dengan mensasarkan guru-guru Kafa.

“Perkara ini kita bongkarkan apabila kita menerima aduan dari beberapa guru Kafa yang telah memberikan salinan surat jemputan perjumpaan guru-guru Kafa bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng baru-baru ini”, katanya kepada UMNO-Online di sini.

Di dalam surat tersebut kata beliau lagi dengan jelas menyatakan, kedatangan adalah wajibkan dan sedikit sumbangan khas akan disampaikan sempena Maulidul Rasul namun sesiapa yang gagal hadir, tidak boleh menuntut sumbangan berkenaan.

“Jika kita lihat di sini, Dap sebenarnya telah memaksa guru-guru Kafa ini supaya hadir dan umpannya adalah sumbangan tersebut. Dalam surat berkenaan telah dinyatakan secara jelas, sumbangan hanya untuk mereka yang hadir.

“Kalau sumbangan tersebut ikhlas, sepatutnya ia diberikan kepada semua guru berkenaan tanpa syarat. Mengapa harus diberi kepada yang hadir sahaja? Ini memperlihatkan bagaimana wang digunakan kerajaan Dap di bawah pimpinan Lim Guan Eng untuk memancing sokongan”, ujarnya.

Beliau turut mengimbas pemberian wang RM100 kepada warga emas di Pulau Pinang, yang sebenarnya hanya diberikan kepada golongan berkenan yang telah mendaftar diri mereka sebagai pengundi sahaja.

“Itulah syarat pemberian wang tersebut. Jika benar kerajaan negeri hendak membantu, mengapa dikenakan syarat sebegitu. Kenapa tidak diberi kepada semua warga emas tanpa mengira bangsa, agama dan sama ada mereka sudah menjadi pengundi berdaftar atau tidak.

“Jika kerajaan negeri meletakkan syarat seperti ini, jelas menunjukkan mereka sebenarnya menyogok pengundi supaya berasa terhutang budi. Mereka buat publisiti, ambil gambar mereka yang terima wang supaya kerajaan negeri dipandang baik kononnya memberi bantuan.

”Cara mereka menyogok pengundi begitu halus seperti tidak salah kerana mereka buat di luar waktu mengundi,” katanya.

Hakikatnya tegas beliau Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan kerajaan negeri DAP sebenarnya sudah terdesak untuk mendapatkan sokongan rakyat terutama pengundi Melayu di Pulau Pinang.

“Guan Eng dan Dap sebenarnya hanya bermain sandiwara. Saya menasihatkan pengundi agar tidak terpedaya dengan taktik halus sedemikian rupa tetapi berfikir secara rasional tujuan mereka berbuat demikian.

”Kita boleh lihat, setiap apa yang dibuat oleh Guan Eng, pasti ada niat yang tersembunyi yang menguntungkan dirinya serta konco-konco Dap,” ujarnya.

Beliau seterusnya berkata, bantuan yang dihulurkan oleh Guan Eng hanyalah bertujuan mengaburi mata rakyat Pulau Pinang semata-mata.

“Jangan hanya untung secupak, kita rugi segantang,” katanya lagi. -MediaUMNO

No comments:

Post a Comment